Pengalaman seorang Jurumandi Mayat
di Daerah Gombak, Selangor.
Kisah ini diceritakan oleh Ustaz Abu Bakar Abdul Aziz.
Ia berlaku di kawasan daerah Gombak
di mana jurumandi memandikan jenazah yang agak kaya orangnya dan berpengaruh.
Begini ceritanya :-
Saya telah terlibat dalam pengurusan
jenazah lebih daripada 20 tahun. Pelbagai pengalaman telah saya lalui kerana
dalam tempoh itu bermacam-macam jenis mayat yang telah saya uruskan. Ada yang
meninggal dunia akibat kemalangan, sakit tua, sakit jantung, bunuh diri dan
sebagainya. Bagaimanapun, pengalaman menguruskan satu jenazah di sebuah tempat
di sempadan Selangor dan Wilayah Persekutuan beberapa tahun yang lalu, telah
mendedahkan saya kepada satu kes yang cukup ‘istimewa’ sepanjang pengalaman
saya menguruskan jenazah. Inilah kali pertama saya bertemu dengan satu jenazah
yang cukup aneh, menyedihkan, menakutkan dan sekali gus menberikan banyak
iktibar.
Peristiwa tersebut berlaku dua hari
lagi sebelum pilihanraya di Serkam, Melaka. Nama tempat dan nama orang yang
meninggal itu tidaklah dapat saya nyatakan di sini. Ia terjadi secara kebetulan
ketika saya diminta oleh anak Allahyarham menguruskan jenazah bapanya. Pada
hari itu, saya pergi ke rumah seorang sahabat untuk mengubatkan mata ibunya
bagi kali yang terakhir. Niat saya ialah supaya mata ibu tadi sembuh dan boleh
membaca Al-Quran. Tetapi apabila saya hendak pulang, anak Allahyarham datang
menemui sahabat saya tadi dan bertanya sama ada saya mengurus jenazah atau tidak.
Kawan saya kata, “Cubalah tanya dia sendiri.” Kawan saya ada memberitahu saya
dua bulan yang lepas bahawa saya sahaja yang mengadakan kursus dalam hal
menguruskan jenazah. Anak Allahyarham menemui saya. Saya beritahu dia bahawa
jenazah tidak elok dibiarkan lama-lama.
Saya terus pergi ke rumahnya. Tapi
bila saya hampir sampai ke rumah Allahyarham, saya bau jenazah itu sangat
busuk. Baunya cukup pelik dan busuk. Saya telah menguruskan banyak jenazah
tetapi tidak pernah saya bertemu dengan mayat yang sebusuk ini.Bila saya tengok
wajah Allahyarham, sekali lagi hati saya tersentuh. Saya tengok wajahnya
seperti sedang dirundung oleh bermacam-macam perasaaan…takut, cemas, kesal dan
bermacam-macam lagi. Wajahnya seperti tidak mendapat nur daripada Allah SWT. Kemudian
saya pun ambil kain kafan yang dibeli oleh anak Allahyarham dan saya
potong-potongkan. Secara kebetulan pula, di situ ada dua orang yang mengikuti
kursus pengurusan jenazah yang pernah saya jalankan. Saya ajak mereka membantu
saya dan mereka bersetuju. Tetapi semasa memandikan mayat itu, peristiwa
pertama berlaku. Untuk makluman pembaca, apabila memandikan jenazah, badan
mayat itu perlu dibangunkan sedikit dan perutnya hendaklah diurut urut untuk
membolehkan najis keluar. Maka saya pun urut urutkan perut Allahyarham. Tapi
apa yang berlaku pada hari itu amatlah mengejutkan. Allah itu Maha Berkuasa
kerana pada hari tersebut, najis tidak keluar daripada dubur mayat tadi tetapi
melalui mulutnya. “Lain macam saja ni”, fikir saya. Lalu saya ubah sedikit teknik
dan posisi mayat itu dan saya urut-urutkan lagi perutnya. Tapi najis itu tetap
keluar dari mulutnya. Hati saya berdebar-debar. Apa yang sedang berlaku di
depan saya ini? Telah dua kali mulut mayat ini memuntahkan najis. Saya harap ia
tidak akan berulang lagi kerana saya mahu mengurut perutnya bagi kali yang
terakhir. Tiba-tiba ketentuan Allah berlaku. Bila saya urut perutnya, keluarlah
daripada mulut mayat itu najis bersama beberapa ekor ulat yang masih hidup.
Ulat itu adalah seperti ulat najis. Warnanya putih. Dari mana datangnya ulat
itu, jangan tanya saya.
Allahyarham meninggal dunia akibat
diserang sakit jantung dan waktu kematiannya dengan waktu saya menguruskan
mayatnya cuma lima jam setengah sahaja jaraknya. Aneh, bagaimana dalam tempoh
yang sebegitu singkat mayatnya boleh menjadi sedemikian rupa? Saya lihat wajah
anak Allahyarham. Mereka seperti terkejut. Mungkin malu, terperanjat dan aib
dengan apa yang berlaku pada bapa mereka. Saya tengok dua orang pembantu tadi,
mereka juga terkejutdan panik. Lalu saya bacakan doa untuk mengelakkan badi
mayat dan sapukan ke muka mereka. Saya kata kepada mereka, “Inilah ujian Allah
kepada kita”. Kemudian saya minta salah seorang daripada pembantu tadi
memanggil kesemua anak Allahyarham. Allahyarham pada dasarnya seorang yang
beruntung kerana mempunyai tujuh orang anak, dan semuanya lelaki. Seorang
berada di luar negeri dan enam lagi berada di sini. Bila semua anak Allahyarham
masuk, saya marahi mereka. Saya mengingatkan mereka bahawa tanggungjawab saya
hanyalah membantu menguruskan jenazah bapa mereka, bukan menguruskan sepenuhnya
tanggungjawab tersebut. Sepatutnya sebagai anak, merekalah yang lebih afdal
menguruskan jenazah bapa mereka itu, bukannya tok imam, tok bilal, tok siak.
Saya kata, mungkin satu masa dahulu ibu mereka sibuk maka Allahyarham pernah
memandikan mereka. Itulah jasa dan pengorbanan seorang bapa. Tetapi saya kesal
kerana dalam saat-saat begini anak-anak Allahyarham tidak langsung hendak
membalas jasa bapa mereka itu.
Saya kemudiannya meminta izin serta
bantuan mereka untuk menonggengkan mayat itu. Takdir Allah, apabila
ditonggengkan sahaja mayat tersebut, tiba-tiba keluarlah ulat-ulat yang masih
hidup. Hampir sebesen banyaknya. Besen itu boleh dianggarkan besar sedikit
daripada penutup bilah kipas meja. Subhanallah….suasana menjadi semakin panik.
Saya terus bertenang dan berharap tidak berlaku lagi kejadian-kejadian yang
lebih ganjil. Selepas itu saya mandikan semula mayat tersebut dan saya ambilkan
wuduk. Saya minta anak-anaknya mengambil kain kafan. Saya bawa mayat tersebut
ke dalam biliknya dan tidak diizinkan seorang pun melihat upacara itu kecuali
waris yang terdekat, sebab saya takut perkara-perkara yang lebih aib akan
berlaku.
Takdir Allah jua yang menentukan.
Apabila mayat ini diletakkan di atas kain kafan, saya dapati kain kafan itu
cukup-cukup memarasi hujung kepala dan kakinya, tidak ada lebih. Maka saya tak
boleh nak ikat kepala dan kakinya. Tidak keterlaluan kalau saya katakan bahawa
kain kafan itu seperti tidak mahu menerima mayat tadi. Tidak apalah, mungkin
saya yang silap semasa memotongnya. Lalu saya ambil baki kain, saya potongkan
dan tampungkan di tempat-tempat yang kurang. Memang kain kafan jenazah itu jadi
tidak berapa elok, tetapi apa nak buat Itu sahaja yang boleh saya lakukan. Pada
masa yang sama saya berdoa kepada Allah, “Ya Allah, jangan Kau hinakan jenazah
ini ya Allah, cukuplah sekadar peringatan kepada hambamu ini”. Selepas itu saya
berikan taklimat tentang sembayang jenazah. Tiga kali taklimat diberikan. Yang
hadir cuma 13 orang saja.
Selepas menyembahyangkan jenazah
tadi, satu lagi masalah timbul. Jenazah itu tidak dapat dihantarkan ke tanah
perkuburan kerana tidak ada kereta jenazah. Saya hubungi JAWI, JAIS, Pusat
Islam, DBKL, Polis dan sebagainya, tetapi yang peliknya, mereka juga tidak
mempunyai kereta jenazah kerana kereta yang ada sedang digunakan. Dalam keadaan
itu, seorang hamba Allah muncul menawarkan bantuan. Lelaki itu meminta saya
menunggu sebentar untuk membolehkan dia mengeluarkan van dari garaj rumahnya.
Kemudian muncullah sebuah van. Tapi ketika dia sedang mencari tempat untuk
meletakkan vannya itu di kawasan rumah Allahyarham, tiba-tiba isterinya keluar.
Dengan suara yang tegas dia berkata di khalayak ramai, “Abang, saya tak
benarkan kereta saya ini digunakan untuk mengangkat jenazah itu sebab semasa
hayatnya dia tidak pernah benarkan kita naik keretanya”. Renungkanlah, kalau
tidak ada apa-apa sebab, tidak mungkin seorang wanita yang lembut hatinya akan
berkata demikian. Jadi saya suruh tuan punya van itu membawa vannya balik.
Selepas itu muncul pula seorang lelaki menawarkan bantuannya. Lelaki itu
mendakwa dia adalah anak murid saya. Dia meminta izin daripada saya dalam 10-15
minit untuk membersihkan keretanya itu. Dalam jangka waktu yang ditetapkan itu,
muncul kereta tersebut. Tetapi dalam keadaan yang basah kuyup. Kereta yang
dimaksudkan itu sebenarnya adalah sebuah lori, dan lori itu digunakan oleh
lelaki tadi untuk menjual ayam. Renungkanlah, pernahkan kita melihat satu
jenazah dibawa ke kubur dengan lori ayam? Dalam perjalanan menuju ke kawasan
perkuburan, saya berpesan kepada dua pembantu tadi supaya ahli masyarakat tidak
payah membantu kami menguburkan jenazah tadi. Saya suruh mereka pergi kubur
saudara mara dan sahabat mereka, itu lebih baik. Saya tidak mahu mereka melihat
apa-apa lagi peristiwa ganjil. Rupanya apa yang saya takutkan itu berlaku
sekali lagi – takdir Allah yang terakhir amat memilukan. Bila sampai sahaja
jenazah tersebut ke kuburnya, saya perintahkan tiga orang anaknya turun ke
dalam liang lahad dan tiga lagi turunkan jenazah. Takdir Allah, apabila jasad
jenazah itu mencecah sahaja ke bumi, tiba tiba air hitam yang busuk baunya
keluar dari celah-celah bumi yang pada asalnya kering. Hari itu tidak hujan,
tetapi dari mana datangnya air itu? Sukar untuk saya menjawabnya. Lalu saya
arahkan anak Allahyarham supaya sendaikan jenazah bapa mereka dengan kemas.
Saya takut nanti ia akan terlangkup….na’uzubillah. Kalau mayat terlangkup,
tidak ada harapan untuk mendapat syafaat Nabi saw.
Papan keranda diturunkan dan kami
segera kambus kubur tersebut. Selepas itu kami injak-injakkan tanah supaya
mampat dan bila hujan ia tidak mendap. Tapi sungguh menyayukan, saya perhatikan
tanah yang diinjak itu menjadi becak. Saya tahu, jenazah berkenaan
ditenggelamkan oleh air hitam yang busuk itu. Melihatkan keadaan tersebut, saya
arahkan anak-anak Allahyarham supaya berhenti menginjakkan tanah itu.
Tinggalkan dalam suku meter, timbus dan bataskan. Ertinya kubur itu tidak
dikambus hingga ke permukaan lubangnya, tetapi ia seperti kubur berlubang.
Tidak cukup dengan itu, apabila saya hendak membacakan talkin, saya tengok
tanah yang diinjak itu ada kesan serapan air. Masya-Allah, dalam sejarah hidup
saya, inilah julung-julung kalinya peristiwa seperti itu terjadi. Melihatkan
keadaan itu, saya mengambil keputusan untuk menyelesaikan pengebumian secepat
mungkin. Sejak sekian lama terlibat dalam pengurusan jenazah, inilah mayat yang
saya tidak talkinkan. Saya cuma bacakan tahlil dan doa yang paling ringkas.
Setelah itu saya pulang ke rumah Allahyarham dan himpunkan keluarganya. Saya
bertanya kepada isteri Allahyarham, apakah yang telah dilakukan oleh
Allahyarham semasa hayatnya. Adakah dia pernah menzalimi orang alim, mendapat
harta secara merampas, menipu rasuah, memakan harta masjid dan anak yatim?
Isteri allahyarham tidak dapat memberikan jawapan. Memikirkan mungkin dia malu
untuk memberitahu, saya tinggalkan nombor telefon rumah saya. Tetapi sedihnya,
sehingga sekarang tidak seorang pun anak-anak Allahyarham menghubungi saya.
Untuk pengetahuan umum, anak-anak
Allahyarham merupakan orang-orang yang berpendidikan tinggi sehingga ada
seorang yang beristerikan orang Amerika, seorang dapat isteri orang Australia
dan seorang lagi isterinya orang Jepun. Saya bertambah sedih apabila dua orang
yang membantu saya menguruskan jenazah tadi menelefon saya. Mereka kata mereka
menyesal membantu saya menguruskan jenazah Allahyarham kerana anak-anak
Allahyarham telah menjadikan mereka sebagai musuh. Saya bertanya, adakah mereka
menceritakan kisah itu kepada masyarakat? Mereka kata ‘TIDAK’. Peristiwa ini
akan tetap saya ingat sampai bila-bila. Kepada masyarakat, tanyalah diri kita
adakah kita mahu peristiwa itu terjadi pada diri kita sendiri, ibu bapa kita,
anak kita atau kaum keluarga kita? Adakah kita mahu peristiwa ini berlaku
berulang-ulang kali sehingga sampai satu masa nanti di mana masyarakat
menganggap peristiwa ini sebagai perkara biasa?
Sumber:
http://peribadirasulullah.wordpress.com/2009/08/31/mayat-yang-keluar-ulat-hidup-hidup/
http://dalamdakwah.wordpress.com/2012/05/25/ngeri-mayat-pendosa-mengeluarkan-ulat-dari-mulut/
0 komentar:
Posting Komentar